4 pendaki sesat di Gunung Chabang ditemukan selamat
Aida Aziz
Ogos 13, 2022 06:50 MYT
Ogos 13, 2022 06:50 MYT
SIMPANG PULAI: Empat orang pendaki yang sesat ketika menjalankan aktiviti mendaki Gunung Chabang berhampiran Pos Slim, di sini, berjaya ditemukan selamat oleh pasukan penyelamat malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata, terdahulu, pihaknya menerima maklumat berhubung perkara itu pada jam 6.23 petang.
Katanya, seorang lelaki membuat panggilan kecemasan bahawa dia sesat di hutan bersama-sama tiga lagi rakannya semasa mendaki gunung tersebut.
Tambahnya, siasatan mendapati pada asalnya seramai 19 orang peserta bersama-sama dua orang malim gunung mendaki gunung itu, namun hanya 17 daripadanya yang selamat turun pada jam 6.30 petang.
"Manakala empat orang pendaki yang lain didapati sesat di dalam hutan.
"Setelah terima maklumat tersebut, Polis Daerah Ipoh turut melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.
"Bagaimanapun, kesemua empat orang pendaki dalam lingkungan umur 30-an yang sesat telah pun ditemukan oleh pasukan penyelamat dan selamat turun ke kaki Gunung Chabang pada jam 10 malam," katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang awam supaya mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya semasa menjalani aktiviti-aktiviti berisiko tinggi seperti mendaki gunung.
Di samping melaporkan pergerakan pergi dan balik di balai polis yang berdekatan.
Sementara itu, jurucakap JBPM Perak dalam kenyataan berkata anggota bomba dan polis berjaya membawa turun pendaki terbabit ke kaki bukit dengan menaiki kenderaan khas.
Kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.