4 pekerja kilang muntah, hampir pengsan terhidu gas fenol
Adie Sufian Zulkefli
Mei 1, 2024 15:55 MYT
Mei 1, 2024 15:55 MYT
KULIM: Dua pekerja lelaki berada dalam keadaan separa sedar manakala dua lagi mengalami muntah dan loya selepas dipercayai terhidu gas fenol dari sebuah kilang di kawasan Lunas, dekat sini, pada Rabu.
Komander Operasi Kanan Pasukan Hazmat JBPM Kedah, Hamizul Azwan Hamdan berkata, bilik gerakan operasi Bomba menerima panggilan berlaku kebocoran gas di sebuah kilang yang menggunakan bahan kimia tersebut pada jam 9.53 pagi.
Beliau berkata, 16 anggota dan pegawai termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba Penyelamat Kulim Hi-Tech bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi Pegawai Operasi memaklumkan berlaku kebocoran bahan kimia iaitu ‘gas fenol’ dan terdapat dua mangsa iaitu pekerja kilang terbabit dalam keadaan separuh sedar, sementara dua lagi mengalami loya dan muntah.
“Tindakan pasukan Hazmat adalah dengan melakukan operasi nyahcemar ke atas mangsa dan sekitar lokasi kilang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Hamizul Azwan berkata, dua mangsa separa sedar itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans, manakala dua lagi mangsa dibawa ke hospital sama dengan ambulans EMRS.
Setelah operasi nyahcemar dilakukan, pihak Hazmat mengesahkan tiada lagi bacaan bahan kimia berbahaya di lokasi dan operasi ditamatkan pada jam 11.50 pagi.