4 nyaris maut kereta terhumban dalam longkang lebuh raya

Adie Sufian Zulkefli
Februari 7, 2020 11:58 MYT
Empat sahabat nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka berpusing lalu terhumban ke dalam longkang di Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Petani. -foto JBPM
Empat sahabat nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka berpusing lalu terhumban ke dalam longkang di Kilometer 103, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dekat Sungai Petani, Kedah dalam kejadian jam 9.15 pagi tadi.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 9.23 pagi.
Beliau berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Nordin Arsyad tiba di lokasi jam 9.34 pagi.
Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta yang terbabas ke dalam longkang di tepi lebuh raya.
Makluman dari komander operasi, terdapat empat mangsa dalam lingkungan usia 20-an. Tiga daripadanya mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk rawatan.
Mohamadul Ehsan berkata tindakan BBP Amanjaya adalah dengan memutuskan wayar bateri pada kereta terbabit kerana kenderaan itu masih bergerak susulan gear masih berada pada kedudukan memandu.
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, untuk rawatan lanjut.
#BBP Amanjaya #Hospital Sultan Abdul Halim #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kemalangan #kereta terhumban dalam longkang #Lebuhraya Utara Selatan #longkang tepi lebuh raya #PLUS
;