4 nelayan dikhuatiri lemas selepas bot karam
Nur Fazlizai Ali
November 18, 2020 17:24 MYT
November 18, 2020 17:24 MYT
BESUT: Empat nelayan asing dikhuatiri lemas manakala seorang selamat selepas bot yang dinaiki mereka karam akibat dibadai ombak besar ketika ribut, awal pagi tadi.
Insiden itu dipercayai berlaku kira-kira 12 batu nautika dari perairan Besut berhampiran Pulau Perhentian jam 3 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Azrol Anuar Nor berkata, kejadian itu melibatkan seorang tekong warga Thailand dan empat kru warga Myanmar.
Katanya, bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga asing berkenaan dari Jeti Perikanan Geting, Kelantan.
"Kini hanya seorang mangsa berjaya ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan yang lain.
"Kita sudah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pelbagai agensi di kawasan terbabit," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.