4 mangsa culik Sabah pulang ke rumah
Astro Awani
Jun 14, 2016 11:55 MYT
Jun 14, 2016 11:55 MYT
Empat rakyat Malaysia dari Sarawak yang diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina dan dibebaskan pada Rabu lalu telah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.
Keempat-empat mereka kelihatan tiba di Lapangan Terbang Sibu dari Kota Kinabalu sekitar jam 9 pagi tadi.
Mereka ialah adik-beradik Wong Teck Kang, 31 tahun, dan Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan seorang lagi anak kapal bot tunda, Wong Hung Sing, 34.
Mereka diculik di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Pada Jumaat, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Awang Sahari EM Nadzeer berkata keterangan keempat-empat individu terbabit mula diambil sejurus mereka tiba di Kota Kinabalu dari Sandakan pada Rabu.