4 kolam tadahan akan dibina di Ipoh, kurangkan risiko banjir kilat - Datuk Bandar
Aida Aziz
September 5, 2022 14:29 MYT
September 5, 2022 14:29 MYT
IPOH: Empat kolam tadahan akan dibina di bandar raya Ipoh sebagai salah satu kaedah mitigasi mengatasi masalah banjir kilat, khususnya musim tengkujuh saban tahun.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak berhubung teknologi kolam tersebut.
Rumaizi turut memberi penekanan tentang kepentingan kolam tadahan itu, memandangkan terdapat tiga sungai utama di bandar raya ini yang boleh menjurus kepada banjir jika tidak diselanggara dengan baik.
"Kita sudah mula bina satu (kolam tadahan) dekat dengan kem askar di Tambun, sudah dikorek tapi belum siap dan kita jangka hujung tahun ini, bergantung kepada situasi dan cuaca.
"Itu antara strategi jurutera daripada MBI, mungkin kolam tadahan itu berperanan untuk salirkan air dari sungai ke kolam tersebut dulu, kemudian bila air sungai surut kita akan keluarkan semula untuk elak banjir.
"Setakat ini sudah ada satu, sekurang-kurangnya kita mahu dua kolam tadahan, untuk Sungai Pinji dan Sungai Pari, ini sungai besar di Ipoh, kemudian ia akan masuk ke Sungai Kinta.
"Kita akan ikut teknologi terkini mengikut nasihat daripada JPS, apa yang terbaik dan saya pun kena bincang dengan bahagian kejuruteraan MBI," katanya pada Isnin.
Rumaizi berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung langkah atau pendekatan yang diambil untuk mengurangkan risiko banjir kilat, terutama ketika negara memasuki musim tengkujuh tidak lama lagi.
Sebelum ini media melaporkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merancang untuk membina tempat penyimpanan air bawah tanah, seperti dilaksanakan ibu negara maju seperti Tokyo, Jepun sebagai langkah mengatasi banjir kilat dalam jangka masa panjang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata itu antara cadangan yang diketengahkan DBKL sebagai strategi menguruskan banjir di ibu kota.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai isu banjir kilat di bandar raya ini, Rumaizi berkata pihaknya juga sentiasa mengambil tindakan berterusan dengan memastikan longkang dan sungai diselanggara.
Katanya lagi, MBI juga sentiasa bekerjasama dengan JPS selain mengadakan rundingan untuk mengurangkan risiko tersebut.
"Setiap bulan saya akan panggil mesyuarat untuk pantau sampah dan sebagainya. Termasuk kolam tadahan.
"Kita berunding dengan JPS kalau boleh mereka selenggara sungai-sungai. Sebab air longkang ini memang akan mengalir ke sungai. Kalau sungai itu tidak dikawal, ia tetap banjir juga," katanya lagi.
Terdahulu, Rumaizi menghadiri sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mysuccess Land Sdn. Bhd. dan MBI.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Mysuccess Land Sdn. Bhd. Andrew Chan Wai Hoe.
Rumaizi mewakili MBI menandatangani MoU tersebut, yang memberi fokus meningkatkan mutu kehidupan warga Ipoh dengan memberi keutamaan kepada golongan B40 memiliki hartanah yang dibangunkan.
Tanah seluas 82.53 ekar yang dimiliki oleh pihak syarikat akan menempatkan sebanyak 1,465 unit hartanah kos rendah dan sederhana yang akan memberi manfaat kepada warga Ipoh terutama golongan B40.