4 hari tidak pulang, 2 nelayan dikhuatiri hilang, lemas di Selat Melaka
Shuhada Abdul Kadir
Januari 17, 2021 21:19 MYT
Januari 17, 2021 21:19 MYT
MELAKA TENGAH: Dua nelayan dikhuatiri hilang dan lemas apabila apabila tidak pulang sejak Rabu lalu selepas keluar menangkap ikan di kawasan perairan berhampiran Pulau Undan di Selat Melaka.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba ll Muhammad Izwan Arief Mat Noh berkata, dua lelaki itu adalah warga tempatan berusia lingkungan 30-an.
"Kami menerima panggilan berhubung kejadian sekitar jam 11.26 pagi Ahad selepas pihak keluarga tampil membuat laporan polis memaklumkan mereka yang keluar menangkap ikan sejak hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Rabu lalu, tidak pulang ke rumah sehingga kini.
"Maklumat awal diterima daripada para nelayan mendakwa kali terakhir ternampak dua mangsa ini adalah di sekitar perairan berdekatan Pulau Undan.
"Pasukan bomba dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Mmalaysia) dan Jabatan Laut kemudian menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam radius 10 batu nautika dari tempat mereka kali terakhir dilihat," katanya di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut ujarnya, operasi SAR turut dibantu enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Selain itu, katana pihaknya juga akan mendapatkan bantuan Unit Udara bagi membantu operasi SAR.