4 faktor pembeli rumah yakin dengan sektor hartanah tempatan

Zaim Ibrahim
Januari 29, 2018 21:10 MYT
57 peratus responden mengakui mahu membeli hartanah dalam masa enam bulan akan datang.
Tujuh puluh lima peratus pembeli rumah percaya pasaran hartanah menghadapi isu lebihan bekalan lantas mengambarkan ini masa terbaik untuk membeli hartanah.
Dalam masa yang sama, 57 peratus responden mengakui mahu membeli hartanah dalam masa enam bulan akan datang.
Kaji selidik oleh PropertyGuru turut merumuskan peningkatan ini dijangka berterusan sepanjang 2018 disebabkan oleh perubahan sikap pengguna, bantuan kerajaan untuk memiliki rumah mampu milik serta faktor-faktor makroekonomi seperti pengukuhan nilai ringgit, kenaikan harga minyak mentah dan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Menerusi satu kenyataan, PropertyGuru memaklumkan terdapat empat faktor yang meningkatkan keyakinan pengguna untuk membeli sesebuah hartanah.
1. 3 daripada 4 responden percaya wujudnya bekalan hartanah berlebihan dalam pasaran 

Kaji Selidik Sentimen Penguna PropertyGuru menunjukkan satu perempat rakyat Malaysia percaya pasaran kini mengalami lebihan bekalan. Ia merupakan peningkatan mendadak berbanding enam bulan lalu. Keinginan untuk membeli hartanah dalam tempoh enam bulan akan datang juga meningkat 5 peratus kepada 57 peratus dengan pembeli sedang melihat kemungkinan untuk memberi hartanah dari pasaran premier dan sekunder.
2. Lebih daripada setengah responden berminat untuk membeli hartanah dalam masa enam bulan lagi
Secara anggaran, satu pertiga responden sedang mencari hartanah dalam lingkungan hargaantara RM 300,000 hingga RM 500,000. Ia merupakan peningkatan lima peratus berbanding enam bulan lepas.
3. 2 daripada 3 responden mempunyai bajet dibawah RM 500,000 untuk melabur hartanah
Kebanyakkan pembeli percaya pembelian hartanah adalah satu pelaburan jangka panjang. Mereka ingin memiliki hartanah yang mampu milik dan dijadikan sebagai aset pelaburan. Menurut data PropertyGuru, sebahagian besar rakyat Malaysia percaya bahawa harga pasaran hartanah akan meningkat dalam masa lima tahun akan datang.
4. Lebih 40% responden merasakan harga hartanah akan melonjak 5% hingga 10% selepas lima tahun.
Dalam tinjauan tersebut, 44 peratus responden merupakan pembeli hartanah kali pertama atau mereka mempunyai niat membeli rumah. Suku daripada responden merupakan individu yang ingin membeli rumah dan yang ingin menaik taraf rumah mereka.
Kajian berkenaan dilaksanakan portal PropertyGuru bagi mengukur tanggapan pengguna terhadap permintaan pasaran hartanah.
Tinjauan yang bermula sejak 2009 itu bertujuan membantu pembeli, agen hartanah, serta pemaju untuk memahami kedudukan serta realiti pasaran hartanah tempatan
#bajet #hartanah #KDNK #kerajaan #minyak #nilai #perumahan #rakyat #rakyat Malaysia #ringgit #rumah
;