4 beranak tinggal dalam kereta akibat konflik keluarga
Sinar Harian
Disember 9, 2022 06:30 MYT
Disember 9, 2022 06:30 MYT
SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu sepasang suami isteri bersama dua anak yang menjadikan kereta sebagai tempat berteduh sejak beberapa minggu lalu.
LZS memaklumkan, konflik keluarga menyebabkan keluarga berkenaan berhijrah ke Selangor bagi memulakan kehidupan baharu.
Menurut LZS, ketua keluarga bekerja dengan mengambil upah sebagai buruh binaan yang sekadar cukup untuk makan minum namun belum mampu menyewa rumah untuk keselesaan keluarga.
"Hati kami tersentuh tatkala melihat anaknya yang baru berusia dua tahun hanya bermain di dalam kereta dan nampak sedikit tekanan pada wajahnya akibat mungkin terlalu lama duduk, tidur dan berbaring hanya di dalam kereta.
"Kami hulurkan bantuan wang tunai untuk keluarga ini gunakan bagi kos makan minum serta berehat sementara di hotel bajet," menurut kenyataan di Facebook LZS pada Khamis.
Ujar kenyataan itu, LZS akan mempertimbangkan memberi bantuan bersesuaian kepada keluarga berkenaan selepas ini.
"Ujian setiap dari kita berbeza-beza. Kadangkala kita pernah merasa berada dalam zon selesa, namun apabila diuji, banyak hikmah di sebaliknya.
"Moga Allah kurniakan kemudahan buat keluarga ini dan dipertemukan jalan yang terbaik buat mereka," ujar kenyataan itu. -Sinar Harian