4 beradik teruskan persekolahan di sekolah kerajaan, kata bapa saudara
Astro Awani
Februari 2, 2014 13:51 MYT
Februari 2, 2014 13:51 MYT
Keluarga pasangan yang di tahan di Sweden menjelaskan, amat sukar untuk menemui pasangan berkenaan disebabkan peraturan yang ketat yang dikenakan oleh kerajaan Sweden.
Bahkan menurut abang Shalwati, Badrul Hisham Makhzan keluarganya di Kelantan sudah berputus asa dengan keadaan ini.
Namun dengan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan semua pihak akhirnya keempat-empat beradik ini selamat pulang ke Kelantan walaupun adik-beradik yang berkunjung ke Sweden baru-baru ini tidak dibenarkan untuk berjumpa dengan pasangan yang ditahan itu.
“Sebenarnya kami bagi pihak keluarga sudah hampir-hampir putus asa sebab semasa saya ke sana pada 31 Disember untuk cuba berjumpa dengan mereka dan Azizul dan Shalwati tidak berjaya sebab peraturannya terlalu ketat. Keadaan masa itu masih dalam siasatan dan usaha untuk berjumpa sukar bahkan tidak dibenarkan,” jelas Badrul Hisham.
Katanya dengan bantuan pelbagai pihak, khususnya perhatian dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akhirnya keempat-empat beradik ini dapat di bawa pulang ke tanah air.
Katanya pada masa ini keluarga bersetuju untuk menyerahkan penjagaan sementara kepada adiknya, Sharlena yang juga seorang guru untuk menjaga keempat-empat beradik ini.
Selain itu, mereka juga akan dihantar ke Sekolah Kebangsaaan Padang Kala dan Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Kala, Melor yang terletak berhampiran rumah untuk memulakan sesi perekolahan.
Katanya pihak keluarga akan berbincang dengan pihak Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN) bagi memudahkan kesemua empat beradik ini bersekolah.
Katanya, kemungkinan masalah bahasa pada pemulaan kerana kesemua empat beradik ini menggunakan Bahasa Inggeris dan sebelum ini bersekolah di sekolah antarabangsa.
Namun menurut Badrul perkara tersebut akan dapat diatasi kerana adik beradik ini memahami bahasa Melayu namun sukar untuk menuturkan dalam bahasa kebangsaan kerana sebelum ini mereka berada di Afrika Selatan dan bersekolah di sana sebelum berpindah ke Sweden.
Badrul menjelaskan, dengan kepulangan empat beradik ini diharapkan ibubapa mereka, Shalwati dan Azizul Raheem Awaluddin akan menyusul tidak lama lagi.
Pihak keluarga juga tidak putus-putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dipermudahkan urusan pembebasan mereka di sana.
Keluarganya juga memahami undang-undang yang ketat terhadap kanak-kanak namun berharap pelbagai pihak terus membantu untuk membebaskan pasangan berkenaan.
Shalwati dan suaminya Azizul Raheem Awaluddin yang merupakan pegawai Tourism Malaysia di Stockholm kini ditahan reman sehingga 10 Feb bagi membantu siasatan memukul tangan anak lelaki mereka yang tidak solat.