4 beradik bertemu Perdana Menteri dan isteri
Astro Awani
Februari 1, 2014 13:27 MYT
Februari 1, 2014 13:27 MYT
Empat beradik anak kepada pasangan warga Malaysia yang ditahan di Sweden telah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri di kediaman mereka di Jalan Duta sebentar tadi.
Satu sesi sidang media akan diadakan sejurus pertemuan tersebut.
Mereka selamat tiba ke tanah air dari Stockholm pukul 7.04 pagi tadi.
Empat beradik itu iaitu Aishah Azizul Raheem, 14; Ammar, 12; Adam, 11; dan Arif, 7, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Ketibaan mereka diiringi Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan seorang saudara keluarga itu.
Aishah ketika ditemui gembira dapat pulang ke Malaysia, bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Kami gembira dapat balik ke sini," katanya.
Sebelum ini, anak-anak pasangan Azizul Raheem Awaluddin dan Shalwati Norshal itu diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm oleh pihak berkuasa Sweden dalam satu majlis di pejabat kedutaan.
Mereka akan dijaga oleh keluarga Islam dari Malaysia sementara menanti kes ibu bapa mereka selesai di mahkamah.
Pasangan tersebut telah ditahan sejak pertengahan 18 Disember lalu dan dibicarakan pada 16 Januari, atas tuduhan memukul anak lelakinya kerana tidak menunaikan solat.
Tahanan reman Azizul dan Shalwati sebelum ini telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sejak ditahan dan Sweden tidak mempunyai had penahanan reman.
Sebelum itu, pendakwaraya Anna Arnell meminta mahkamah melanjutkan tempoh tahanan kerana bimbang pasangan berkenaan akan melarikan diri ke Malaysia dan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Di sebalik kejayaan usaha Wisma Putra untuk memindahkan hak penjagaan anak-anak tersebut berjaya, namun mereka tetap merindui ibubapa mereka.
Selain itu kes tersebut juga telah mendapat perhatian warga Twitter di Malaysia yang sudah mula bersuara dengan hashtag #SwedenLetThemGo.
Hashtag ini dimulakan oleh perunding media sosial Joe Lee yang ingin rakyat Malaysia bersatu menerusi Twitter untuk memberi tekanan kepada pihak kerajaan Sweden untuk mempercepatkan kes ini.
Tempoh reman untuk Azizul Raheem dan Shalwati Nurshal dilanjutkan 11 hari sehingga 10 Februari bagi meneruskan siasatan.
##SwedenLetThemGo
#anak/children
#Azizul Raheem Awalludin
#Malaysia
#Shalwati Nurshal
#Sweden
#Wisma Putra