4,994 kes buli direkodkan dari Januari hingga Oktober 2023
Ridauddin Daud
November 1, 2023 10:50 MYT
November 1, 2023 10:50 MYT
KUALA LUMPUR: Data daripada Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) dari Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan jumlah kes buli meningkat dari tahun 2021 hingga 2023.
Berdasarkan data dikongsi Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying di Dewan Rakyat pada Rabu, jumah kes buli yang direkodkan pada 2021 adalah 326 kes, rendah kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Begitupun, pada tahun lepas, jumlahnya meningkat mendadak kepada 3,887 kes manakala pada tahun 2023, sehingga Oktober, jumlahnya adalah 4,994 kes.
“Semua kes ini, sisasatan telah dijalankan dan tindakan susulan telah diambil terutamanya dari segi bimbingan kaunseling.
“Kes buli atau gejala sosial ini melibatkan banyak pihak, bukan hanya ibu bapa, NGO juga, kita memerlukan penglibatan daripada mereka.
“Juga komuniti setempat. Tujuan kami untuk memastikan kes bulit dapat dikurangkan dan pembuli dan mangas buli dapat diberikan bimbingan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan daripada Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH - Balik Pulau) berkaitan kes buli di sekolah.
Dalam pada itu, Hui Ying memaklumkan kerajaan bercadang untuk menambah jumlah guru kaunseling sekiranya kes buli terus meningkat.
“Memang kita akan pastikan kalau ada kes buli bertambah, tindakan yang segera, terutamanya menangani murid sekolah adalah kaunseling, bimbingan.
“Mereka mesti diberi kesedaran dan bimbianga yang sepatutnya, untuk tahu mengapa mereka buli, ingin buli dan lakukan perbuatan buli.
“Kaunseling memang amat mustahak, sekirnya kes bertambah, memang kita akan menambah guru kaunseling di sekolah,” ujarnya.