4,907 pegawai setuju lantikan tetap, tujuh tolak - Dr Zaliha

Fareez Azman
Jun 23, 2023 17:32 MYT
Dr Zaliha berkata kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap itu dikehendaki membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Seramai 4,914 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi mengisi kekosongan jawatan pada tahun ini.
Menurut Menterinya, Dr Zaliha Mustafa, jumlah itu merangkumi seramai 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai prgigian dan 316 pegawai farmasi.
"Daripada jumlah ini, seramai 4,907 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan
kontrak telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala 7 pegawai perubatan telah menolak pelantikan tetap tersebut.
"Bagi memastikan pelaksanaan yang telus dan saksama, Kementerian Kesihatan memutuskan kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist," jelasnya menerusi satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Dr Zaliha, pegawai pergigian dan pegawai farmasi telah dibenarkan membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun lalu.
Manakala pegawai perubatan pula dibenarkan membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dan mengikut lima fasa pelaksanaan bermula 9 Jun lalu.
"Proses pemilihan ini telah memasuki Fasa 5 yang berakhir 24 Jun 2023. Daripada 335 pegawai pergigian yang menyatakan setuju terima pelantikan tetap, seramai 330 pegawai telah berjaya melengkapkan pemilihan penempatan, manakala lima pegawai tidak melengkapkan pemilihan penempatan selepas aplikasi ditutup.
"Bagi pegawai farmasi pula, seramai 308 daripada 316 pegawai telah berjaya memilih penempatan dalam aplikasi ePharmacist, manakala 8 pegawai lagi tidak memilih penempatan," katanya lagi.
Manakala bagi pegawai perubatan seramai 3,405 telah memilih penempatan.
Ujar Dr Zaliha lagi, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih pegawai.
Justeru, kesemua kekosongan jawatan itu akan ditawarkan kepada calon simpanan. Dalam urusan pengambilan tetap pula, KKM telah menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai dikekalkan di penempatan semasa.
"Antara alasan yang diberikan adalah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran.
"Pelaksanaan pengambilan tetap ini akan menyebabkan pegawai lantikan kontrak (yang tidak disandarkan atas jawatan sebelum ini) perlu mengisi perjawatan tetap mengikut waran perjawatan berkuat kuasa.
"Berikutan pelaksanaan urusan ini, KKM menjangkakan akan berlaku kekurangan pegawai buat sementara di fasiliti kesihatan tertentu," katanya lagi.
KKM telah menyediakan langkah penyelesaian bagi menangani isu terbabit termasuk menempatkan secara berperingkat pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti berkenaan mulai Julai 2023.
Berdasarkan rekod, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023.
#pegawai perubatan #pegawai lantikan kontrak #Zaliha Mustafa #lantikan tetap
;