4,905 kes keganasan rumah tangga direkod dalam lapan bulan pertama tahun ini

Umavathi Ramayah
Oktober 5, 2021 13:07 MYT
Siti Zailah Mohd Yusoff memberitahu, sepanjang tahun lalu sebanyak 5,260 kes keganasan rumah tangga direkodkan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,905 kes keganasan rumah tangga direkodkan dalam lapan bulan pertama tahun ini dengan majoritinya melibatkan wanita.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memberitahu, angka itu agak membimbangkan berbanding 5,260 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.
"Kebanyakan kes juga tidak dilaporkan, mungkin kerana kurangnya kesedaran undang-undang dan hak mereka bagi mendapatkan perlindungan.
"Perkara ini sedang dalam tindakan, kita mengharapkan kes-kes sumpama ini, sekiranya berlaku, minta terus dilaporkan kepada pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu menyentuh mengenai kes bunuh diri, Siti Zailah memaklumkan sebanyak 638 kes dilaporkan kepada polis dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.
"Ia menyaksikan peningkatan drastik jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu hanya 262 kes.
"Kita mendapai punca kepada kejadian ini adalah ekoran tekanan mental," tambahnya lagi.
Sehubungan itu, kata beliau, kementeriannya menggerakkan sukarelawan Skuad WAJA di seluruh negara bermula 8 Mac lalu sempena sambutan Hari Wanita.
Beliau memberitahu, setakat ini, seramai 4,994 sukarelawan telah dilatih meliputi seluruh negeri menerusi program tersebut.
"Dengan adanya Skuad WAJA, lebih 600 kes dikenalpasti berkaitan dengan isu psikologi, kesihatan mental, work life balance, isu keganasan dan perundangan," jelasnya.
Siti Zailah menjelaskan, Skuad WAJA diberikan latihan menggunakan modul Skuad WAJA yang bertujuan
membina kemahiran untuk menjadi seorang pendengar dan pembimbing wanita dan keluarga dalam komuniti.
Menurutnya, Skuad WAJA juga membantu komuniti untuk merujuk aduan kepada pihak yang berwajib bagi mendapatkan bantuan lanjut.
Beliau memberitahu, kementeriannya mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 keahlian menjelang akhir tahun ini.
"Kami ingin menyeru agar lebih ramai mendaftar sebagai sukarelawan Skuad WAJA dan untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Pejabat Pembangunan Wanita negeri atau mendaftar di
pautan https://www.rebrand.ly/pendaftaranskuadWAJA @ https://www.jpw.gov.my/," tambahnya.
#keganasan rumah tangga #bunuh diri #kesihatan mental #Parlimen
;