4,872 hektar kawasan pertanian terjejas akibat banjir
Astro Awani
Disember 1, 2024 07:40 MYT
Disember 1, 2024 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,872 hektar kawasan pertanian dilaporkan telah terjejas yang melibatkan 2,156 pesawah, petani dan pengusaha makanan, manakala 661 petugas KPKM Inc Kelantan turut menjadi mangsa banjir kali ini.
Menurut pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan menerusi laman Facebook, Datuk Seri Mohamad Sabu, nilai keseluruhan kerugian sektor pertanian Kelantan akibat banjir kali ini dianggarkan melebihi RM16 juta.
Susulan itu, KPKM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan kepada golongan sasar KPKM yang memerlukan.
Kerajaan juga komited untuk mengkaji jenis bantuan yang bersesuaian bagi meringankan beban petani yang terkesan akibat banjir.
Ini termasuk pemberian bantuan kewangan dan sokongan pemulihan pascabanjir.
Kenyataan itu menyusul susulan lawatan Mohamad ke Kelantan bagi meninjau situasi semasa banjir dan menilai kesan banjir terhadap sektor pertanian yang terjejas.
Mohamad turut meninjau kawasan sawah di Pasir Mas melibatkan sejumlah 211 hektar, yang beberapa hari lagi akan dituai, telah tenggelam sepenuhnya.