4,725 permohonan di Kota Setar untuk rentas negeri, daerah ditolak

Abd Hadi Che Awang
Mei 13, 2021 16:39 MYT
Asisten Komisioner Ahmad Sukri Mat Akhir berbincang dengan anggota yang bertugas di Sekatan Jalan Raya Tol Alor Setar Utara, Alor Setar pada Khamis. - Gambar Astro AWANI
ALOR SETAR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar membuat keputusan untuk menolak 4,725 permohonan untuk merentas negeri dan daerah sejak 1 Mei lalu atau hampir separuh daripada jumlah keseluruhan iaitu sebanyak 11,561 permohonan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Sukri Mat Akhir berkata, kebanyakan permohonan yang ditolak disebabkan alasan yang tidak munasabah selain tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menurut beliau, pihak IPD Kota Setar juga akan mempertingkatkan kawalan khususnya melibatkan laluan yang menghubungkan sempadan daerah dan lorong-lorong tikus yang telah dikenal pasti khususnya selepas dua minggu penguatkuasaan PKP di daerah itu.
Bagaimanapun, kata beliau, kaedah yang digunakan adalah melibatkan rondaan dan pemeriksaan mengejut atau 'snap-check' oleh pasukan polis di beberapa jalan atau laluan yang sering digunakan penduduk sekitar bagi tujuan merentas daerah.
Katanya, polis juga akan memperketatkan serta memperbanyakkan pemantauan dari rumah ke rumah agar tidak berlaku sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya membabitkan larangan untuk aktiviti ziarah hari raya.
"Bagi daerah Kota Setar, kita tidak mendirikan apa-apa sekatan dari mana-mana jalan tikus tetapi kita ada kaedah lain, (yang mana) untuk mereka yang cuba untuk menggunakan jalan raya kita (akan) menggunakan 'snap check', sekiranya mereka tidak bernasib baik berjumpa dengan pasukan-pasukan pemantau kita, (dan didapati) mereka langgar (peraturan), kita akan ambil tindakan seperti mana berlaku sebelum ini (iaitu) semasa PKPB dan sebagainya," kata beliau.
Ahmad Sukri berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Tol Alor Setar Utara, Alor Setar pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sejak 1 Mei lalu, sebanyak 287 kenderaan telah diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas daerah daripada pihak polis.
Bagaimanapun, didalam tempoh terbabit, tiada kes cubaan rentas negeri dikesan melalui beberapa SJR yang didirikan di daerah Kota Setar selain pihaknya masih belum mengeluarkan sebarang kompaun terhadap pengguna jalan raya.
#Sekatan Jalan Raya #Kota Setar #rentas negeri dan daerah #perintah kawalan pergerakan #Majlis Keselamatan Negara #daerah Kota Setar
;