4,633 laporan manipulasi aktiviti perniagaan, barang kawalan, subsidi diterima melalui KITA GEMPUR – KP Penguat Kuasa KPDN
Irfan Faruqi
November 21, 2024 11:47 MYT
November 21, 2024 11:47 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif KITA GEMPUR yang digerakkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengumpul 4,633 aduan dalam tempoh sebulan pelaksanaannya.
Ringkasan AI
- Peningkatan Aduan dan Kes: Dalam tempoh sebulan pelaksanaan, aduan meningkat sebanyak 23% daripada 3,764 kepada 4,633, dan kes yang didaftarkan meningkat daripada 885 kepada 1,283. Penguatkuasaan dan Rampasan: Sebanyak 81,186 pemeriksaan dilakukan, menghasilkan 1,133 kes dengan nilai rampasan RM4.49 juta. Seramai 42 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan. Saluran Aduan: Orang awam boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp, talian aduan, dan laman web khusus untuk menghapuskan kartel dan penipuan perniagaan.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata, ini merupakan peningkatan sekitar 23 peratus berbanding sebelum kempen ini dijayakan yang menggembleng penyertaan orang awam.
"Statistiknya secara umum, sebulan sebelum kita lancarkan KITA GEMPUR kita terima 3,764 aduan. Selepas sebulan kita lancarkannya, aduan itu meningkat kepada 4,633 sebulan. Peningkatan 23 peratus.
“Maksudnya, selepas kita jalankan gerakan ini, penglibatan awam meningkat. Hasil daripada penglibatan awam, kes yang didaftarkan juga meningkat daripada 885 sebulan sebelum kita laksanakan, kepada 1,283. Ini hasil daripada maklumat dan aduan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
4,633 laporan manipulasi aktiviti perniagaan, barang kawalan dan subsidi diterima melalui KITA GEMPUR – KP Penguat Kuasa KPDN
Tambah Azman, statistik penguatkuasaan di bawah KITA GEMPUR sejak pelancarannya bermula 19 Oktober hingga 17 November lalu juga merekodkan 81,186 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, 1,133 kes dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM4.49 juta. Selain itu, sejumlah 4,240 aduan telah diterima manakala seramai 42 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan.
Inisiatif KITA GEMPUR merupakan langkah strategik KPDN untuk membina satu gerakan massa dan membuka ruang kepada orang ramai untuk menyalurkan aduan mengenai penipuan perniagaan luar dan dalam talian; kewujudan kartel dalam bentuk pakatan harga; serta tipuan bida, melalui tiga saluran iaitu:
- Whatsapp: 019-848 8000
- Talian Aduan: 03-8882 6088 / 03-8882 6245
- Aduan #Hapus Kartel: https://www.mycc.gov.my/bm/e-aduan
Agenda AWANI: KPDN | Kita gempur!