4,200 ahli PRESMA diminta wujudkan pemantau SOP - Jawahar Ali

Fareez Azman
Februari 9, 2021 19:55 MYT
Menurut Jawahar, PRESMA menasihatkan ahli supaya menggunakan peluang ini untuk menjalankan perniagaan dengan baik dan mematuhi SOP ditetapkan.
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akan menasihatkan lebih 4,200 ahlinya untuk menempatkan seorang pekerja bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di restoran mereka khususnya pada waktu puncak.
Menurut Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, langkah itu diambil bagi memastikan pematuhan SOP dengan sebaiknya susulan kebenaran beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa.
"Sudah pasti ia berita gembira kepada semua ahli PRESMA dan usahawan runcit selepas pendapatan mereka terjejas kerana tidak dibenarkan beroperasi seperti biasa.
"PRESMA juga menasihatkan ahli supaya menggunakan peluang ini untuk menjalankan perniagaan dengan baik dan mematuhi SOP ditetapkan seperti hanya dua orang dibenarkan berada pada satu meja, penjarakan satu meter serta jumlah pelanggan yang dihadkan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, dengan pengalaman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, PRESMA yakin perniagaan ahlinya yang terjejas sebelum ini akan kembali pulih dengan keputusan kerajaan itu.
Sementara itu Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Che Hassan Che Johan turut berpendapat orang ramai juga perlu dinasihatkan agar terus mematuhi SOP yang dikeluarkan.
"PPMM juga berharap masyarakat tidak alpa dengan kelonggaran diberikan dan tidak mengambil kesempatan dengan ingkar SOP terutama apabila berada di restoran atau pun membeli barangan keperluan," katanya.
Tambah Che Hassan, pengguna juga perlu memainkan peranan untuk memastikan tiada lagi jangkitan dalam komuniti.
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan pelanggan makan di kedai makan atau restoran bermula Rabu.
Bagaimanapun, SOP yang ketat dikenakan antaranya hanya dua pelanggan dibenarkan pada satu meja serta langkah pencegahan COVID-19 oleh peniaga dan pelanggan.
#ismail sabri yaakob #SOP #kerajaan #perintah kawalan pergerakan #Majlis Keselamatan Negara #PKP #COVID-19 #presiden #Presma #Jawahar Ali Taib Khan #peniaga
;