4,111 aduan pencemaran direkod sehingga Jun tahun ini
Nur Fazlizai Ali
Julai 4, 2022 08:15 MYT
Julai 4, 2022 08:15 MYT
MARANG: Sebanyak 4,111 aduan melibatkan pencemaran direkodkan dalam tempoh enam bulan bermula Januari hingga 30 Jun lalu.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, daripada jumlah itu lebih 80 peratus aduan diterima membabitkan pencemaran udara atau pembakaran terbuka.
Katanya kebanyakan pencemaran yang dilaporkan berada di kawasan kilang yang terletak di sepanjang sungai.
"Secara keseluruhannya aduan melibatkan kawasan kilang sepanjang sungai. Terdapat dua kawasan zon industri agak terkawal.
"Kementerian bercadang untuk membangunkan satu sistem penapisan berpusat sebelum kilang ini 'discharge' ke sungai, kita rawat di situ dulu.
"Yang kedua agak kritikal di kawasan kilang-kilang haram di tepi sungai dan sebagainya dan kita minta pihak PBT dan agensi kita Alhamdulillah kerjasama yang amat baik untuk kita kawal benda-benda macam ini," katanya.
Beliau berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan berkrompromi dengan mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan itu.