4,000kg ketam hidup dirampas cuba diseludup masuk dari negara jiran

Petrus Bernard
Jun 16, 2021 12:09 MYT
Pemeriksaan awal mendapati setiap kotak gabus tersebut dipenuhi dengan ketam hidup dengan jumlah berat keseluruhan 4,000 kilogram. - Astro AWANI
TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot jongkong yang sarat dengan muatan 4,000 kilogram ketam hidup yang cuba diseludup masuk ke negara ini melalui Op Cegah PATI di perairan Tawau pada Isnin.
Dalam kejadian jam 8 pagi, kapal ronda KM Kapas yang sedang melakukan rondaan di perairan Tawau mengesan sebuah bot jongkong penuh dengan muatan kotak gabus putih.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata kapal KM Kapas seterusnya memintas bot jongkong tersebut untuk diperiksa.
Pemeriksaan awal mendapati setiap kotak gabus tersebut dipenuhi dengan ketam hidup dengan jumlah berat keseluruhan 4,000 kilogram yang dibawa dari negara jiran secara haram.
Juragan bot yang merupakan lelaki rakyat tempatan berumur 31 tahun juga gagal mengemukakan dokumen berkaitan barang yang di bawanya.
Siasatan awal secara lisan, juragan itu mengakui ketam tersebut dipindahkan dari bot yang berdaftar di negara jiran ke atas bot jongkong tempatan yang dibawanya di sempadan perairan untuk mengaburi pihak berkuasa bahawa ketam tersebut adalah hasil tangkapan di perairan negara ini.
Juragan turut mengakui dia hanya mengambil upah membawa ketam tersebut masuk ke negara ini secara haram.
Juragan bersama bot jongkong dan ketam hidup tersebut dibawa ke jeti maritim Tawau untuk tindakan lanjut.
Jumlah keseluruhan barang rampasan termasuk ketam hidup, bot jongkong dan enjin bot di anggarkan berjumlah RM120,000.
Kes disiasat dibawah enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 dan Akta Perikanan 1985.
#APMM #ketam hidup #bot jongkong #Tawau #Op Cegah Pati #seludup
;