4,000 rai Hari Vaisakhi, tiga hari himpun penganut Sikh
Aida Aziz
April 14, 2024 06:40 MYT
April 14, 2024 06:40 MYT
IPOH: Perayaan Hari Vaisakhi yang jatuh pada tanggal 14 April disambut meriah dengan hampir 4,000 orang menyempurnakan upacara sembahyang di Gurdwara Sahib Buntong, di sini.
Hari Vaisakhi yang dirayakan selama tiga hari sudah bermula sejak Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad.
Vaisakhi merupakan salah satu perayaan utama dalam kalendar Sikh iaitu memperingati penubuhan Khalsa pada tahun 1699.
Ia juga menandakan permulaan musim menuai mengikut kalendar masyarakat Punjabi dan Sikh.
Menurut salah seorang penganut Sikh, Jaspreet Kaur Gurnam Singh, sepanjang tiga hari perayaan itu disambut, pelbagai upacara keagamaan dan tradisi akan dilaksanakan.
Di samping menyatukan sanak saudara dan kenalan yang sama-sama meraikan hari istimewa itu.
"Selama tiga hari ini akan ada upacara yang dipanggil sebagai tolong menolong, ia seperti menghidangkan makanan kepada semua yang datang, membasuh pinggan mangkuk dan sebagainya.
"Saya rasa sangat gembira untuk menghadiri upacara sembahyang di sini kerana akan jumpa dengan saudara-mara dan rakan yang duduk jauh.
Sementara itu, Ek Jot Singh Lekhpal Singh berkata, antara aktiviti yang dilakukan ketika sambutan perayaan itu seperti membaca serta menyanyikan ayat suci dari kitab.
"Kita mengadakan aktiviti gotong-royong untuk bersihkan Gurdwara Sahib Buntong, selain menghiasnya.
"Saya gembira dan bangga kerana dapat melihat ramai pemuda datang ke sini untuk meraikan Hari Vaisakhi," katanya.
Setiausaha Jawatankuasa Gurdwara Sahib Buntong, Habagan Kaur Chancal Singh berkata, kerajaan negeri turut menyumbang sejumlah peruntukan bagi perayaan tersebut di situ.
Di samping sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Buntong dan penganut Sikh.
"Sambutan dan kehadiran dari masyarakat Sikh meriah sepanjang tiga hari perayaan di gurdwara ini, kami berharap ia akan berterusan untuk tahun akan datang, pelbagai peringkat umur hadir untuk meraikan hari istimewa ini," katanya.