4,000 pembeli menerusi LPPSA bakal nikmati penangguhan pembayaran balik pinjaman

Bernama
Januari 26, 2022 05:18 MYT
Reezal Merican berkata proses dan maklumat lengkap berkaitan penangguhan pembayaran balik pinjaman menerusi LPPSA akan diumumkan dalam masa terdekat. - Gambar fail BERNAMA
ALOR GAJAH: Seramai 4,000 pembeli rumah PR1MA menerusi pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) yang terkesan akibat kelewatan pembinaan, bakal diberikan penangguhan pembayaran balik pinjaman.
Menterinya Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata ini kerana pihaknya memahami bebanan yang ditanggung pembeli akibat kelewatan projek disiapkan, terutama akibat COVID-19
"Kita telah hantar permohonan kepada Kementerian Kewangan dan minta penangguhan tersebut selama enam bulan diberikan," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan kunci Residensi Pulau Sebang di sini pada Rabu.
Katanya ini memandangkan pembiayaan menerusi LPPSA ini tidak seperti bank atau institusi kewangan biasa, yang mana pemotongan pembayaran bermula hanya selepas pembeli mendapat kunci dari pemaju.
"Bagaimanapun bagi pembiayaan LPPSA, sama ada projek siap atau tidak, pemotongan pembayaran semula tetap bermula selepas 24 bulan bagi rumah bawah dan 36 hingga bulan hingga 60 bulan bagi rumah jenis strata" katanya.
Mengenai proses dan maklumat lengkap berkaitan penangguhan tersebut, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan tidak pernah berdiam diri dalam menyelesaikan 22 projek perumahan di bawah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), yang dikategorikan projek sakit dan lewat.
Katanya ini termasuklah mencari penyelesaian yang lebih realistik dan proaktif terutama melibatkan pembayaran dan pemilihan kontraktor.
"Setakat ini, PR1MA telah mengenal pasti dan membatalkan kontrak kontraktor yang gagal melaksakan projek, melantik kontraktor penyelamat serta menggunakan kontraktor tempatan.
"Pemantauan kerja yang dilakukan kontraktor penyelamat juga dilakukan sehingga siap, kerana jika melibatkan kelewatan, pastinya lebih merugikan, adalah kos yang meningkat," katanya.
Setakat ini sebanyak enam projek PR1MA dibangunkan di Melaka dengan tiga daripadanya telah siap di bina iaitu di Residensi Pulau Sebang di Alor Gajah, Residensi Rumpun Bahagia dan Residensi A'Famosa 1.
Manakala bakinya masih dalam pembinaan iaitu Residensi Klebang 2, Residensi A'Famosa Fasa 2, Residensi Bukit Katil dan Residensi Melaka Tengah 2, dengan jumlah keseluruhan Jejak KPKT melalui PR1MA di Melaka adalah 4,634 unit rumah.
-- BERNAMA
#Reezal Merican Naina Merican #LPPSA #pembeli rumah PR1MA #penangguhan pembayaran balik pinjaman
;