4,000 bakul makanan diagih kepada keluarga di Gua Musang

Muhafandi Muhamad
Jun 18, 2021 00:23 MYT
Setiap keluarga menerima lapan barangan keperluan asas termasuklah beras, telur, gula, gandum dan minyak masak. - Astro AWANI
GUA MUSANG: 4,000 bakul makanan diagihkan kepada keluarga yang tinggal di kawasan setinggan dan kampung tradisional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Gua Musang, Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, bantuan tersebut merupakan sumbangan peribadinya bersama beberapa pihak dan kerajaan negeri Kelantan untuk membantu mereka yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Gua Musang (PEKA GM) berkata, kaedah pengagihan bantuan itu dilakukan secara pandu lalu di Pusat Khidmat ADUN Galas dan di beberapa lokasi terpilih bagi memudahkan penduduk mengambil bakul makanan.
Setiap keluarga menerima lapan barangan keperluan asas termasuklah beras, telur, gula, gandum dan minyak masak.
"Saya menumpukan kepada mereka yang tidak dapat bekerja pada waktu 'lokcdown' ini. Jadi Alhamdulillah nampaknya keadaan terkawal dan kita telah salurkan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan dan menambah peruntukan ini melalui sumbangan daripada para korporat, rakan-rakan dan pemimpin di peringkat persekutuan," katanya.
Sementara itu, bagi penduduk, sumbangan itu besar maknanya buat mereka yang terjejas pendapatan ketika PKP 3.0.
Menurut suri rumah Siti Jamilah Ibrahim, kebanyakan penduduk tidak dapat bekerja selepas kilang papan terpaksa ditutup ketika pelaksanaan PKP.
"Kebanyakan penduduk di sini bekerja di kilang papan. Jadi terima kasih banyak kepada semua pihak yang memberi bakul makanan ini," katanya.
Sebanyak RM200,000 diperuntukkan untuk program pengagihan bantuan bakul makanan itu.
#Bakul Makanan #setinggan #Gua Musang #kampung tradisional #kilang papan #hilang pekerjaan