3S elak birokrasi projek jabatan pendidikan negeri - Daliah
Khairunnisa Kasnoon
Disember 6, 2017 05:02 MYT
Disember 6, 2017 05:02 MYT
Setiap jabatan pendidikan negeri perlu memperkenalkan konsep 3S iaitu sebelum dilaksana, sedang dilaksana dan siap dilaksana dalam setiap projek pembangunan di kawasan masing-masing.
Ketua Puteri UMNO Bahagian Putatan Daliah Mohd Zin berkata, ia sekali gus memudahkan rakyat memantau perkembangan projek selain mengelakkan tuduhan seperti birokrasi berlaku.
Jelasnya, paling penting diwujudkan sebuah portal untuk memeriksa perjalanan dan penyerahan projek kepada syarikat atau individu berkenaan.
"Tolong pastikan projek ini dilaksana, kalau tidak penat bah, nak tepis fitnah.
"Bukan kami nak sibuk hal kementerian ni, tapi bila gagal, lewat penyelengaraan, siapa yang kena? Tatap kita semua. Aduh, penat bah nak menjawab," kata anak Sabah itu semasa membahas usul pendidikan selepas ucapan dasar Ketua Puteri UMNO pada Rabu.
Bercakap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Daliah pada masa sama menekankan, pendidikan anak-anak luar bandar tidak harus diperjudikan.
"Jangan nafikan hak anak-anak luar bandar kerana pendidikan adalah ubat mujarab kemiskinan," jelasnya.
Dalam pada itu, Daliah turut menyentuh mengenai penjenamaan semula Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang disifatkan tepat dalam proses meningkatan kemahiran dalam kalangan anak muda.
Proses penjenamaan TVET Malaysia menjadi pemangkin kepada program pendidikan kemahiran di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan tujuh kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan.
Selain itu, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Kemajuan Luar Bandar turut terlibat di dalam program berkenaan.
#bahas
#Daliah Mohd Zin
#Kementerian Pendidikan
#NBOS
#pendidikan
#Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional
#penjenamaan semula
#Puteri UMNO
#TVET
#UMNO
#usul