391 kes baharu COVID-19, tiga daerah diisytihar zon hijau di Sabah - Masidi
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Disember 5, 2020 23:20 MYT
Disember 5, 2020 23:20 MYT
KOTA KINABALU: Sebanyak 391 kes positif COVID-19 baharu dengan dua kematian direkodkan di Sabah hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata, di sebalik peningkatan statistik itu terdapat perkembangan baik di dua daerah yang kini telah diklasifikasikan sebagai zon hijau.
"Jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 391 kes dengan dua kes kematian iaitu masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Tawau.
"Setakat ini jumlah zon merah adalah sebanyak 14 daerah. Terbaharu, Keningau bertukar daripada zon jingga kepada zon merah.
"Kota Marudu dan Sipitang pula berubah daripada zon kuning kepada zon hijau dan ia menjadikan tiga zon hijau di Sabah termasuk Nabawan," Katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.
Mengulas mengenai kes baharu, jelas Masidi daripada 391 kes, sebanyak 189 kes dikesan melalui saringan kontak rapat di 15 daerah, saringan kluster baharu dan sedia ada (104), saringan bergejala (35), saringan komuniti (40) dan lain-lain kategori (23).
Katanya, kluster baharu yang menyumbang kepada peningkatan kes adalah melibatkan dua daerah iaitu Penampang dan Tawau.
"Pada hari ini, terdapat dua kluster baharu direkodkan iaitu Kluster Jalan Domis di Penampang yang mencatatkan sebanyak dua kes... menjadikan bilangan kumulatif 12 kes.
"Kluster ini berkaitan dengan sebuah majlis penghormatan terakhir dan pengebumian.
"Satu lagi kluster adalah Kluster Batu Tiga di Tawau... sebanyak satu kes dikesan hari ini, menjadikan bilangan kumulatif sebanyak 28 kes.
"Kluster ini berkaitan dengan kontak rapat rakan sekerja di sebuah kilang memproses makanan laut," katanya.