390,000 peluang pekerjaan telah dicipta sehingga September - Tengku Zafrul

Nickyson Nyambar
Oktober 24, 2021 21:54 MYT
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kadar mendapat pekerjaan perlu diseimbangkan dengan kejayaan melahirkan ramai graduan universiti. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : Sebanyak kira-kira 390,000 peluang pekerjaan telah dicipta sehingga September tahun ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jumlah itu adalah sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk mencipta 500,000 peluang pekerjaan di negara ini.
"Kadar pegangguran sejak 10 tahun yang lalu sebelum tahun 2020 adalah berada di antara 3 ke 3.5 peratus. Itu adalah kadar purata kadar pengangguran di negara kita (ketika itu).
"Kerana itu kita menyasarkan jumlah penciptaan pekerjaan tahun ini sahaja sehingga setengah juta atau 500,000 pekerjaan.
"Sehingga September sahaja, kerajaan telah mencipta sebanyak 390,000 peluang pekerjaan baharu.
"Akan tetapi, isu sebenar bukan penciptaan pekerjaan tetapi mengenai penggangguran belia. Kadar pekerjaan melibatkan golongan belia adalah dua kali ganda, kadang-kadang tiga kali ganda dari kadar pengangguran di negara ini," kata beliau.
Jelas Tengku Zafrul, kerajaan melihat situasi yang mana negara berjaya menghasilkan graduan universiti, namun ianya juga harus diseimbangkan dengan kadar mendapat pekerjaan.
Berkata demikian dalam program Common Sense @ AWANI menjelang pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober ini.
Sesi itu turut disertai oleh golongan belia dari pelbagai agensi dan latar belakang.
#csa #peluang pekerjaan #Menteri Kewangan #Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz #bajet 2022
;