39 peratus pelajar bimbang pencapaian pendidikan era pandemik - Tinjauan

Eton Khir
November 24, 2021 23:25 MYT
Tinjauan itu turut mendapati 61 peratus daripada responden bersetuju bahawa buli siber masih menjadi isu besar yang dihadapi ketika ini.
KUALA LUMPUR: Penutupan sekolah akibat COVID-19 sedikit sebanyak memberi impak kepada pendidikan dan perkembangan pelajar di Malaysia.
Menerusi satu kaji selidik yang dijalankan Digi's 2021 Yellow Heart: Life under COVID-19 for children online values and challenges, sebanyak 39 peratus responden didapati bimbang mengenai gred dan ketidakpastian dalam peperiksaan ketika mendepani pandemik COVID-19.
Tinjauan itu melibatkan seramai 1,746 pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang dipilih secara rawak mengikut jantina, etnik dan wilayah di seluruh Malaysia.
Tempoh pelaksanaan kajian ini bermula dari Ogos hingga September 2021.
Kaji selidik berkenaan turut mendapati 31 peratus pelajar tertekan dengan kelas atau tuisyen dalam talian dengan 26 peratus tidak bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran mereka manakala 25 peratus responden mengatakan tidak cukup berdisiplin untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ketika waktu pandemik ini.
Sementara itu, walaupun 61 peratus daripada responden bersetuju bahawa buli siber masih menjadi isu besar yang dihadapi, tinjauan menunjukkan bahawa buli siber berkurangan dengan 8 peratus mengalami buli siber sebelum wabak, tetapi hanya 5 peratus mengatakan mereka dibuli siber sejak wabak itu bermula.
Tinjauan ini hasil kerjasama Syarikat Telekomunikasi Digi Sdn Bhd (Digi) dan University Sunway.
#COVID-19 #pendidikan #buli siber #pandemik
;