39 lokasi berisiko berlaku kepala air di Kedah - Bomba
Adie Sufian Zulkefli
September 6, 2022 18:29 MYT
September 6, 2022 18:29 MYT
ALOR SETAR: 39 lokasi pusat rekreasi dan air terjun di Kedah disenaraikan dalam kawasan berisiko berlaku kepala air dan banjir lumpur.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sebelum ini hanya 18 kawasan namun selepas pemantauan dan pemeriksaan dilakukan pihak bomba 21 lokasi baharu turut dikenal pasti.
Beliau berkata, antara pusat rekreasi adalah di Baling, Bukit Kayu Hitam, Guar Chempedak, Kulim, Kuala Nerang, Sungai Petani, Langkawi, Pendang, Bandar Baharu, Sik, Jitra dan Yan.
“Baling mempunyai bilangan tertinggi iaitu 11 lokasi antaranya Lata Celak Iboi (Kupang), Teratak Simpul (Kampung Weng Dalam), Air Panas (Ulu Legong), Kuala Kedua dan Lubuk Badak (Ulu Legong), Sungai Pam (Kampung Luar Doing), Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.
“Di daerah Sik, lima kawasan peranginan iaitu Lata Mengkuang, pusat peranginan Rimba Taqwa, Lata Charok Rambai, Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral di Jeneri.
"Manakala di Bukit Kayu Hitam Surau Sungai Batu dikenal pasti kerap berlaku kepala air selain Kem Rekreasi Puteri Mandi, Taman Rekreasi Sungai Badak dan Sungai Bukit Kuari di Guar Chempedak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, Kem Rekreasi Sungai Sedim, Kem Rekreasi Ulu Paip di Karangan dan Lata Bukit Hijau dan Pusat Rekreasi Air Putih Junjung di Kulim manakala Pusat Rekreasi dan Peranginan Bukit Wang di Jitra turut disenaraikan.
Daerah Padang Terap, dua lokasi tumpuan pelancong iaitu Taman Eko Rimba Puncak Janing dan Air Terjun Sungai Seraya Jalan Padang Sanai juga tidak terkecuali kemungkinan berlakunya kepala air.
“Di daerah Pendang di Rimba Rekreasi Bukit Perak di Sungai Tiang dan air terjun Batu Hampar Air Putih di daerah Bandar Baharu.
“Langkawi, empat lokasi iaitu Lubuk Semilang, Durian Perangin, Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun,” katanya.
Jelasnya lagi, tiga kawasan tumpuan di daerah Kuala Muda adalah di air terjun Batu Pahat Muzium Arkeologi, Damai Park Resort dan Pusat Peranginan Tupah.
Manakala di Yan, tiga kawasan yang kerap berlaku kepala air adalah di Titi Hayun, air terjun Seri Perigi dan air terjun Batu Hampar.
Katanya, semua ketua balai bomba di setiap daerah telah diarahkan supaya berwaspada dan sentiasa melakukan pemantauan berkala bagi mengarahkan pengunjung beredar sekiranya terdapat tompokan awan hitam di bahagian ulu bukit.
Penanda kejadian kepala air apabila air bertukar menjadi keruh, deruan air menjadi kuat dan mengalir laju membawa bersama bongkah serta ranting kayu.
Justeru beliau mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mengunjungi kawasan rekreasi terbabit dan segera meninggalkan kawasan itu sekiranya perubahan cuaca menjadi gelap.