39 ditahan libatkan judi bola mencecah taruhan RM1.8 juta
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 3, 2018 13:42 MYT
Julai 3, 2018 13:42 MYT
Polis Pulau Pinang menahan seramai 39 individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian bola sepak membabitkan jumlah pertaruhan mencecah RM1.8 juta sempena perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Rusia ketika ini.
Ketua Polis Negeri, Datuk A. Thaiveegan berkata, kesemua individu berusia 20 hingga 60 tahun temasuk seorang wanita itu ditahan dalam 36 serbuan yang dilakukan polis sempena Op Soga bermula 14 Jun lalu.
Katanya, hasil risikan, polis mendapati kegiatan tersebut dijalankan di kedai-kedai kopi dan kawasan terbuka di sekitar Pulau Pinang manakala nilai pertaruhan ditetapkan bergantung kepada pasukan yang bertanding.
"Kita telah dapat tahu daripada maklumat yang kita terima bahawa mereka terima taruhan minimum RM1 sehinggalah RM50,000 dan anggaran pertaruhan adalah RM1.8 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, pagi tadi.
Menurut Thaiveegan, aktiviti pertaruhan turut dijalankan secara atas talian menyebabkan kegiatan itu sukar dikesan.
"Cara-cara mereka melakukan pertaruhan ini ataupun perjudian ini ialah secara online. Kita percaya peralatan-peralatan ataupun sofware itu adalah diimport daripada Macau.
"Ramai yang dapat franchise dari Macau dan mereka bawa balik ke Malaysia dan membuat perniagaan secara franchise serta dijalankan menggunakan telefon bimbit serta peralatan elektronik moden," katanya.
Tambah Thaiveegan, dalam serbuan bermula 14 Jun sehingga 28 Jun itu, pelbagai barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pertaruhan itu dirampas termasuklah wang tunai berjumlah lebih RM23,000, kertas dipercayai kutipan pertaruhan bola sepak, 41 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan pelbagai peralatan elektronik lain.
"Hasil siasatan juga mendapati laman web seperti maxbet.com; big919.com; beer777.com dan beberapa laman web lagi antara yang digunakan pihak terbabit untuk menjalankan aktiviti pertaruhan," katanya.
Ujarnya, kesemua yang ditahan kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi Rm200,000 jika sabit kesalahan.
#A Thaiveegan
#bola sepak
#hasil risikan
#Judi Online
#Op Soga
#pertaruhan
#polis pulau pinang
#Rusia
#software