38 PATI cuba balik kampung guna laluan haram dihukum penjara

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 22, 2023 15:20 MYT
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan dengan tambahan 10 pesalah lelaki dikenakan satu sebatan. - Gambar/ Astro AWANI
TELUK INTAN: Seramai 38 warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan tinggal lebih masa.
Tertuduh, 29 lelaki dan sembilan wanita yang berusia antara 21 hingga 47 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret T Ashvinii.
Mengikut pertuduhan, 10 lelaki dan tiga wanita didakwa tinggal di Malaysia tanpa mempunyai apa-apa dokumen yang sah untuk masuk dan berada di negara ini.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di Pantai Sungai Tiang di sini jam 8.30 pagi pada 10 Ogos lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan dengan tambahan 10 pesalah lelaki dikenakan satu sebatan.
Sementara itu, 19 lelaki dan enam wanita warga asing lain didakwa berada di Malaysia dengan memiliki pasport yang sudah tamat tempoh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika ditahan di tempat dan masa yang sama
Mereka dituduh mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan kesemua 25 tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat bulan dari tarikh tangkapan.
Pada 10 Ogos lalu, media melaporkan polis menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika mereka cuba meninggalkan perairan negara di Pesisir Pantai Sungai Tiang, Rungkup, di sini.
Difahamkan, dua lagi warga Indonesia akan didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada 29 Ogos mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Pindaan 2007) serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzudin Fakri Hamdan dan Azalea Sharmeen Zaizan, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
#pati #balik kampung #Selat Melaka #hukuman penjara
;