38 negeri AS kemuka saman antipersaingan terhadap Google
Astro Awani
Disember 17, 2020 07:20 MYT
Disember 17, 2020 07:20 MYT
WASHINGTON: Sejumlah 38 negeri di Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman antipersaingan terhadap syarikat teknologi terkemuka Google pada Khamis.
Mereka mendakwa Google mengamalkan langkah monopoli yang melanggar undang-undang di pasaran carian dalam talian.
Menurut negeri ini, monopoli ini memberikan kesan negatif kepada pengguna dan pengiklan.
Saman difailkan di mahkamah persekutuan di Washington DC oleh pendakwaraya Colorado.
Ia usaha bipartisan dan disertai negeri lain termasuk Arizona, Vermont, Washington, Hawaii dan Kansas.
Weiser turut mendakwa Google mengenakan sekatan ke atas ejen carian khususnya pelancongan yang dilapor mengancam pendapatan pengiklanan syarikat teknologi itu.
Sekatan ini didakwa mengakibatkan kos yang tinggi kepada syarikat seperti Yelp dan Expedia, mengurangkan persaingan, mengekalkan monopoli Google dan mengurangkan pilihan kepada pengguna.
Google bagaimanapun enggan memberikan komen.
Ini merupakan saman ketiga yang difailkan ke atas Google dalam masa dua bulan.
Ini ketika Jabatan Kehakiman AS dan pendakwaraya melihat kepada pelbagai cara Google menyalah guna kedudukan sehingga mengakibatkan kesan kepada perniagaan lain, inovasi dan pengguna.
Ini dilihat sebagai cubaan untuk undang-undang AS mencapai apa yang dilakukan di Kesatuan Eropah (EU) sejak 2010 yang mengakibatkan Google beberapa kali disaman.
Pada Rabu, 10 negeri Republikan memfailkan saman ke atas Google dan mendakwa syarikat itu terlibat dengan tindakan antipersaingan membabitkan industri pengiklanan dalam talian.
Menurut laman web Statista, pada 2019, Google mencatatkan pendapatan AS$134 bilion daripada pengiklanan melalui Google Ads.
Ini berbanding pendapatan keseluruhan google sebanyak AS$160 bilion.
Statista menambah 90 peratus daripada carian melalui desktop di serata dunia dilakukan menerusi google.
#Google
#antipersaingan
#antimonopoli
#syarikat teknologi
#Kesatuan Eropah
#Mahkamah Persekutuan
#pelancongan
#Yelp
#ejen carian