38 ditahan dalam Op Dadu di Sungai Petani
Bernama
Januari 18, 2016 12:17 MYT
Januari 18, 2016 12:17 MYT
Seramai 38 warga tempatan ditahan dalam Op Dadu membanteras judi ekor tanpa lesen susulan serbuan ke atas 28 premis di beberapa taman perumahan di Sungai Petani, Kedah, pada Ahad.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan bakinya wanita yang merupakan ejen dan pelanggan berusia antara 25 dan 60 tahun.
Ketua Penolong Pengarah Unit Tindakan Khas Jenayah Terancang, Skuad Taktikal 3 Perjudian/Maksiat/Kongsi Gelap (STAGG) Bukit Aman, SAC Khairi Ahrasa berkata selain wang tunai berjumlah RM44,270, polis turut merampas peralatan kegiatan itu.
"Ia termasuk 44 telefon bimbit, 37 pencetak mudah alih, 23 komputer dan komputer riba, tujuh modem/jalur lebar, 28 kalkulator dan 89 gulung kertas resit," katanya dalam kenyataan di sini.
Serbuan bermula 3 petang itu melibatkan kawasan perumahan di Taman Sejati Indah, Taman Ria, Taman Keladi, Taman Kenari Jaya, Taman Intan, Taman Bandar Sungai Lalang, Taman Desa Jaya, Taman Arked dan Taman Ria Jaya.
"Hasil kutipan pertaruhan bagi kesemua tangkapan dianggarkan RM90,000 sehari dan RM1.11 juta sebulan," katanya.
Menurut Khairi, premis perniagaan seperti kedai telefon, restoran dan kedai runcit dijadikan sebagai tempat kegiatan judi itu untuk mengaburi pihak berkuasa.
"Terdapat juga ejen yang menyewa premis lain untuk menjalankan kegiatan secara bergerak," katanya.
Khairi berkata enam ejen telah dikenal pasti untuk disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Jenayah.
Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam catatan Twitternya hari ini menyebut, "Syabas STAGG @PDRMsia gempur 28 premis judi ekor haram di Sungai Petani, tangkap 38 orang dan rampas alat-alat dan cash."