38 ADUN terima geran RM100,000 untuk bantu rakyat miskin
Ruzaini Zulkepli
Februari 12, 2019 14:23 MYT
Februari 12, 2019 14:23 MYT
Seramai 38 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah akan menerima agihan geran berjumlah RM100,000 setiap seorang oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan susah di kawasan masing-masing.
Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong berkata, geran itu akan dimasukkan terus ke dalam akaun wakil rakyat itu selepas mereka menandatangani surat akur janji.
Menurutnya, setiap agihan akan melalui beberapa prosedur termasuk audit bagi membantu rakyat miskin sekali gus mengelak wang peruntukan berkenaan disalah guna.
"Wang itu disalurkan kepada semua ahli-ahli berhormat tetapi ada garis bantuan yang perlu diikuti bagaimana isi borang, menandatangani penerima oleh penerima dan sebagainya.
"Geran RM100,000 ini digunakan ADUN untuk membantu golongan miskin bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat," katanya.
Stephen berkata demikian, selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Khas Bagi Orang Susah 2019, di sini pada Selasa.
Jelasnya lagi, bagi kawasan ADUN Pembangkang, rakyat yang tinggal di kawasan berkenaan masih boleh mendapatkan bantuan di pejabat ADUN kerajaan memandangkan peruntukkan tersebut adalah bagi membantu kesemua rakyat Sabah.