38.6 kg dadah dirampas, lebih 2,000 individu ditahan di Perak sejak Januari

Bernama
Februari 7, 2025 20:45 MYT
Zulkafli (dua, kiri) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian dadah dan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) hari ini. - Gambar Bernama
IPOH: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak merampas 38.6 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis bernilai RM770,766 menerusi Op Tapis sejak Januari hingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata sepanjang tempoh itu juga, 2,293 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 87 individu telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Rampasan membabitkan dadah sintetik jenis syabu dianggarkan seberat 3.1 kg, ketamin (1.4 kg), ecstasy (2.8 kg), erimin 5 (1.3 kg), pil Yaba (5.06 gram) manakala dadah tradisional membabitkan heroin (29.6 kg) serta ganja (0.3 kg)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Zulkafli berkata pihaknya turut menyita harta bernilai RM748,855 sepanjang tempoh tersebut.
Beliau berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang berterusan antara masyarakat dan agensi penguatkuasaan, khususnya pihak polis.
"Justeru itu, PDRM Perak menyeru orang ramai untuk terus menyalurkan sebarang informasi berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah agar tindakan pembenterasan dapat terus dipertingkatkan bagi memastikan Perak bebas daripada jenayah ini," katanya.
-- BERNAMA
#PDRM #ganja #dadah tradisional #Op Tapis
;