370,000 kemalangan direkod ketika pandemik COVID-19

Muhafandi Muhamad
September 19, 2022 06:30 MYT
Apa yang membimbangkan adalah jumlah kemalangan yang dijangka akan terus mencatatkan peningkatan pada waktu endemik. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Lebih 370,000 kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tahun lepas di seluruh negara pada waktu pandemik COVID-19 dengan lebih 4,539 kematian dicatatkan.
Menurut Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Profesor Dr Kulanthayan KC Mani, punca kemalangan jalan raya yang berlaku adalah kelajuan.
Lebih malang lebih 1,000 kematian yang direkodkan pada tahun 2019 melibatkan kanak-kanak bawah 18 tahun.
"Kalau kita lihat dari segi angka kemalangan jalan raya yang berlaku tahun lepas 2021, bilangan kemalangan jalan raya adalah 370,000 tahun lepas semasa pandemik. Kalau bukan pandemik angka itu pernah mencecah 550,000.
"Kita bergerak kepada arah lepas pandemik bermaksud angkanya juga akan meningkat dan kita perlu membuat sesuatu supaya angka kemalangan ini dapat dikurangkan supaya pengguna jalan raya lebih selamat," katanya.
Bagaimana pun semasa sebelum waktu pandemik, kemalangan jalan raya yang direkodkan di seluruh negara melebihi 550,000 dengan lebih 6,000 kematian dicatatkan.
Apa yang membimbangkan adalah jumlah kemalangan yang dijangka akan terus mencatatkan peningkatan pada waktu endemik.
Mengulas lanjut, punca utama kemalangan yang berlaku adalah disebabkan kelajuan.
Untuk menangani kes kemalangan jalan raya, antara cadangan adalah mengurangkan kelajuan kenderaan selain galakkan penggunaan pengangkutan awam seperti bas, LRT dan komuter.
Beliau berkata, ini kerana jika dilihat dari statistik, jumlah kemalangan membabitkan pengangkutan awam jauh lebih rendah.
Motosikal merupakan penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya.
Profesor Dr Kulanthayan memaklumkan, jumlah kemalangan jalan raya di negara maju antaranya Sweden lebih rendah kerana polisi negara berkenaan yang menggalakkan penggunaan pengangkutan awam berbanding persendirian.
Beliau berkata demikian selepas Program Inisiatuf Keselamatan Pejalan Kaki dalam kalangan kanak-kanak sekolah di sini semalam.
#kemalangan #Kanak-kanak #jalan raya #Kulanthayan KC Mani
;