37 pengunjung kelab malam antara 135 ditahan ingkar PKPP - Ismail Sabri
Umavathi Ramayah
Ogos 23, 2020 15:07 MYT
Ogos 23, 2020 15:07 MYT
Sejumlah 37 pengunjung kelab malam adalah antara 135 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 12 individu telah direman manakala 123 individu pula berdepan kompaun.
"Antara lain kesalahan ingkar arahan PKPP adalah termasuk gagal menyediakan peralatan keluar masuk (30 individu), premis beroperasi lebih masa (tujuh individu), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (55 individu), tidak memakai pelitup muka (lima individu) manakala seorang lagi ditahan kerana gagal mematuhi arahan kuarantin," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Ismail Sabri menambah, dalam usaha mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), PDRM mengadakan 62 sekatan jalan raya Op Benteng terutamanya di lorong-lorong tikus dengan melibatkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan.
Katanya, ketika operasi itu, PDRM turut menahan lima warga asing atas kesalahan imigresen.
"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan pasukan pematuhan juga melakukan pemantauan di 3,905 pasar raya, restoran (5,533 premis), penjaja (1,682 premis), kilang (1,689 premis), bank (3,630 premis) dan 844 pejabat kerajaan.
Katanya, pasukan itu turut memeriksa 1,175 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (227 terminal) dan 82 terminal pengangkutan udara.