37 pendaki terperangkap di Gunung Liang diselamatkan
Abd Razak Mohd Ali
September 8, 2019 07:27 MYT
September 8, 2019 07:27 MYT
Seramai 37 pendaki terperangkap ketika menyertai aktiviti mendaki Gunung Liang di Sungai Dara, Behrang Stesen, dekat sini, pada Ahad.
Bagaimanapun, kesemua 25 lelaki dan 12 wanita tersebut berjaya diselamatkan menjelang tengah malam.
Kesemua mangsa dikatakan terperangkap di seberang sungai di Tumang Batak di gunung itu kerana arus sungai deras.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, 41 anggota polis, bomba dan penyelamat dan Angkatan Pertahan Awam Malaysia (APM) memulakan operasi menyelamat pada 6.15 petang.
Menurutnya, lima mangsa daripada Cheras, sembilan dari Seri Kembangan, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (10) dan Sungai Siput (13) datang untuk mendaki Gunung Liang.
Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 6.15 petang.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan trek laluan untuk menyelamatkan mangsa sejauh empat kilometer.
Pihak bomba menggunakan tali dengan teknik 'river crossing' ke seberang sungai untuk menyelamatkan mangsa dan mangsa turut dipakaikan jaket keselamatan.
"Semua mangsa dibawa turun ke kaki gunung dan diberi rawatan awal," ujarnya.
Operasi menyelamat tamat pada 11.55 malam tadi.
#Behrang Stesen
#Gunung Liang
#JBPM Perak
#kaki gunung
#mangsa
#Muallim
#operasi menyelamat
#pendaki
#polis
#river crossing
#seberang sungai
#selamat
#Tanjung Malim
#terperangkap
#Tumang Batak
#Wan Kamarul Azran Wan Yusuf