37,415 perniagaan gulung tikar akibat COVID-19

Astro Awani
September 28, 2021 15:37 MYT
Daripada 37,415 perniagaan dilapor gulung tikar, 26,007 merupakan usahawan mikro diikuti 2,738 lagi membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seramai 37,415 perniagaan dilapor gulung tikar berikutan terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 26,007 merupakan usahawan mikro diikuti 2,738 lagi membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut beliau, statistik tersebut diperoleh hasil kajian Impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ke atas Landskap Usahawan di Malaysia pada 15 hingga 28 Jun lalu.
"Kementerian telah membentuk satu jawatankuasa khas di bagi membantu usahawan pasca pandemik COVID-19.
"Melalui pembentukan taskforce, pihak kementerian sedang mengambil tindakan segera dalam tempoh jangka pendek di bawah sasaran KPI 100 hari," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Mengulas lanjut, Noh berkata, kementerian turut memfokuskan tiga pendekatan termasuk memulihkan usahawan dan koperasi terjejas melalui bantuan pembiayaan.
Bantuan yang disalurkan meliputi 26 program dengan peruntukan sebanyak RM7.06 billion termasuk moratarium yang diberi kepada usahawan melibatkan 192,541 penerima manfaat, tambah beliau.
"Selain itu, membantu golongan yang hilang pekerjaan, belia dan graduan, golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU) yang menceburi bidang keusahawanan yang mengandungi pelaksanaan 15 program dengan peruntukan sebanyak RM40.4 juta dan melibatkan 2,570 penerima manfaat.
"Memperkukuhkan daya tahan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui adaptasi teknologi digital yang merangkumi pelaksanaan 11 program dengan peruntukan sebanyak RM14.8 juta dan melibatkan 8,950 penerima manfaat," kata Noh lagi.
#Dewan Rakyat #PKP #Perniagan gulung tikar #COVID-19
;