363 anggota polis bertugas setiap hari sempena Tahun Baharu Cina
Bernama
Januari 28, 2025 10:40 MYT
Januari 28, 2025 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Seramai 363 anggota polis akan bertugas setiap hari bagi meningkatkan kawalan trafik dan rondaan keselamatan di sekitar ibu negara bermula hari ini hingga 2 Feb sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, berkata menerusi Op Selamat 23, polis memberi tumpuan kepada rondaan untuk mencegah kemalangan dan kawalan lalu lintas di pusat bandar bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
"Polis akan menunjukkan kehadiran atau omnipresence di semua lokasi operasi untuk memastikan aliran trafik sentiasa lancar dan terkawal," katanya.
Menurut beliau, Op Lancar juga dilaksanakan setiap hari bermula 24 Jan hingga 2 Feb di lokasi hotspot (kawasan kesesakan lalu lintas) dan blackspot (kawasan kerap berlaku kemalangan) di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Sebanyak 50 lokasi hotspot dan 11 lokasi blackspot dikenal pasti di sekitar Kuala Lumpur, manakala di Putrajaya, terdapat lapan lokasi hotspot dan lima lokasi blackspot," katanya pada sidang media selepas program Kempen Advokasi Op Selamat 23 di Bukit Bintang, di sini malam tadi.
Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur SAC Ravindar Singh Sarban Singh, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman.
Antara lokasi hotspot yang dikenal pasti termasuk Jalan Tun Razak, susur Bulatan Pahang, Jalan Ampang, Jalan Kampung Kerinchi, dan Jalan Dato Keramat, manakala kawasan blackspot meliputi Jalan Kuching, Jalan Loke Yew, Lebuhraya Duke, Lebuhraya MRR2, Lebuhraya Seremban, Lebuh Sentosa, serta Persiaran Selatan.
Azry Akmar turut memaklumkan bahawa saman akan dikeluarkan bagi enam kesalahan trafik utama, termasuk, memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong garisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan alat telekomunikasi semasa memandu.
Selain kawalan lalu lintas, beliau berkata rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan juga akan diteruskan sepanjang tempoh perayaan ini. Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk membantu mencegah jenayah di kawasan masing-masing.
Azry Akmar turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk merancang perjalanan, membuat pemeriksaan kenderaan, mematuhi peraturan jalan raya, serta bertoleransi antara satu sama lain demi keselamatan bersama.
-- BERNAMA