36 warga asing termasuk pemegang kad UNHCR ditahan dalam serbuan Imigresen
Bernama
Januari 16, 2020 23:59 MYT
Januari 16, 2020 23:59 MYT
Jabatan Imigresen (JIM) menahan 36 warga asing termasuk yang memiliki kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dalam serbuan di dua premis berasingan di Kuala Lumpur semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pemeriksaan terhadap sebuah pusat urut yang popular dalam kalangan pelancong di kawasan Bukit Bintang yang diserbu semalam mendapati kebanyakan tukang urut hanya mempunyai kad pelarian UNHCR sahaja.
Semasa serbuan, katanya warga asing yang bekerja sebagai tukang urut cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi pergerakan tersebut digagalkan oleh pegawai Imigresen yang telah membuat kepungan awal.
Dalam serbuan itu, katanya, 10 wanita dan empat lelaki warga Myanmar, dan seorang lelaki warga Filipina yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah, ditahan.
"Penyalahgunaan kad UNHCR bagi tujuan aktiviti yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang merupakan kesalahan yang sangat serius dan JIM akan mencadangkan supaya kad UNHCR mereka yang terlibat ini dibatalkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu dalam serbuan ke atas sebuah premis pelacuran yang berselindung di sebalik nama refleksologi dan spa di dalam bangunan hotel 3 bintang di Cheras pula, Khairul Dzaimee berkata 21 wanita yang terdiri daripada 10 warga Vietnam, lima warga Indonesia, empat warga Thailand dan dua warga Laos, ditahan.
Menurutnya, pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks di premis itu perlu membuat tempahan lebih awal melalui aplikasi di telefon bimbit dan perkhidmatan seks dikenakan bayaran antara RM195 dan RM220 bagi tempoh 45 minit.
"Semasa serbuan, wanita-wanita ini tidak memberikan kerjasama dan mengunci pintu dari dalam sehingga Pegawai Imigresen terpaksa memecahkan pintu bagi membuat pemeriksaan," katanya.
Khairul Dzaimee berkata sebanyak 10 Borang Imm.29 (saman kepada saksi) dikeluarkan di kedua-dua lokasi kepada penyelia dan juga pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan bagi membantu siasatan.
Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen, katanya.
Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.
--BERNAMA
#Bukit Bintang
#jabatan imigresen
#Khairul Dzaimee Daud
#Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian
#tukang urut
#UNHCR
#warga asing