36 kaki judi ditahan polis
Aizat Sharif
Februari 26, 2013 19:30 MYT
Februari 26, 2013 19:30 MYT
Seramai 36 orang termasuk 26 warga Indonesia ditahan apabila terlibat dalam kegiatan judi haram di Taman Damai Utama, Bandar Kinrara, semalam.
Serbuan dan tangkapan dilakukan pada jam 4 petang di sebuah bangsal dalam kawasan hutan berhampiran tapak projek perumahan di kawasan perumahan itu.
Semasa diserbu, para penjudi itu sedang leka berjudi dengan meyabung ayam dan bermain judi ‘Bola Golek’ dalam bangsal tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata dua dari individu yang ditahan itu pernah terlibat menganjurkan judi haram di tempat lain.
“Kaki judi tersebut berumur 22 hingga 68 tahun sedang sibuk menyabung ayam peliharaan mereka dan mereka turut mengikat taji, iaitu sebuah senjata tajam seakan-akan kerambit di kaki ayam tersebut,” kata Mohd Adnan.
Haiwan tersebut akan bertarung dan melalui taji yang digunakan itu mampu mencederakan atau mencederakan haiwan tersebut.
Polis percaya kegiatan itu telah sebulan aktif di kawasan tersebut dan kebanyakkan kaki judi ini terdiri dari buruh binaan kontrak dari Indonesia.
Kegiatan ini juga hanya beroperasi pada hari-hari tertentu seperti hari perayaan dan akhir bulan dimana para pekerja buruh binaan ini akan menerima gaji mereka.
Nilai pertaruhan yang ditawarkan oleh penganjur mampu mencecah RM100,000 seandainya gelanggang tersebut dibuka sehingga larut malam.
Polis merampas pelbagai jenis barangan judi termasuklah senjata tajam berupa taji dan wang tunai bernilai RM36,000.
Kesemua warga Indonesia yang ditahan itu turut didapati tidak memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah dan kini berada dalam tahanan reman polis sehingga siasatan selesai.