36,000 ketua isi rumah mangsa banjir Selangor sudah terima bantuan RM1,000 - MB

Bernama
Januari 16, 2022 19:30 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menjangkakan bilangan KIR yang akan menerima bantuan tersebut bakal mencecah 40,000 pada minggu hadapan, menjadikan jumlah bantuan yang disalurkan berjumlah RM40 juta. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Seramai 36,000 ketua isi rumah (KIR) di Selangor telah menerima bantuan RM1,000, menerusi inisiatif Selangor Bangkit yang bermula akhir Disember lalu.
Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya menjangkakan bilangan KIR yang akan menerima bantuan tersebut bakal mencecah 40,000 pada minggu hadapan, menjadikan jumlah bantuan yang disalurkan berjumlah RM40 juta.
Menurutnya, sebanyak 11,194 KIR yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor telah menerima bantuan berkenaan.
"Angkanya terus berterusan sekarang.. kita sedang buat pendaftaran rumah ke rumah, bancian sedang dilakukan, bila kita dapat kita bagi dalam tempoh seminggu.
"Sebelum ini kita sasar 30,000 keluarga sahaja, tetapi hari ini sahaja dah 36,000 dan ada lagi pendaftaran masuk. Jadi, kita buka pendaftaran sampai 31 Jan dan mungkin kita akan tunggu pendaftaran itu sebab ia memerlukan proses semakan dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan sumbangan 1,000 bakul makanan kepada mangsa banjir di Johor daripada kerajaan Selangor di Bandar Medini di sini hari ini.
Akhir tahun lalu, beliau memaklumkan mnagsa banjir di Selangor akan menerima bantuan RM1,000 menerusi inisiatif Selangor Bangkit, yang akan mula disalurkan seawal Rabu ini.
Penerima terbahagi kepada tiga kategori iaitu mangsa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) awam; mangsa yang berpindah ke PPS swasta (persendirian) dan mangsa yang tidak berpindah ke PPS.
-- BERNAMA
#Selangor Bangkit #Ketua Isi Rumah #bantuan #mangsa banjir #banjir selangor #Menteri Besar #Amirudin Shari #KIR #PPS
;