358 tadika, taska dan pusat jagaan kanak-kanak di P.Pinang tidak berdaftar

Bernama
September 14, 2023 20:18 MYT
Siew Khim berkata kerajaan negeri juga sering mengadakan taklimat dan sesi dialog bersama dengan pengusaha pusat-pusat jagaan untuk memberi penerangan berkaitan proses pendaftaran. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
GEORGE TOWN: Sebanyak 246 tadika, 60 taska dan 52 pusat jagaan kanak-kanak di Pulau Pinang dikesan masih tidak berdaftar dengan pihak berkuasa yang sepatutnya.
Pengerusi Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Lim Siew Khim berkata pelbagai langkah telah diambil untuk membolehkan pengusaha berkenaan mendaftar, antaranya menjalankan advokasi dan memberi khidmat nasihat kepada mereka.
"Kami menyarankan agar ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang telah berdaftar, kerana lebih terjamin. Bila pusat jagaan ini sah dan berdaftar, pihak berkuasa boleh memastikan kebersihan, keselamatan dan standard pendidikan dipatuhi oleh pengusaha,'' katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sering mengadakan taklimat dan sesi dialog bersama dengan pengusaha pusat-pusat jagaan untuk memberi penerangan berkaitan proses pendaftaran.
Menurutnya kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) sentiasa melakukan pemantauan secara berkala terhadap taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak yang tidak berdaftar berkenaan.
Beliau berkata sekiranya kanak-kanak dihantar ke pusat jagaan yang berdaftar keadaan itu akan mengurangkan risiko penularan penyakit kerana pihak berkuasa berkaitan mendapat maklumat cepat berhubung perkara itu.
"Setakat ini hanya 126 taska, 96 pusat jagaan kanak-kanak dan 287 tadika yang berdaftar di Pulau Pinang dan kami berharap pengusaha yang belum mendaftar dapat berbuat demikian (mendaftar) dengan segera," katanya.
Selain itu katanya, pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar juga dapat membolehkan pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dalam mengawal penyakit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
''Pendaftaran pusat jagaan membolehkan Jabatan Kesihatan Negeri mengumpul data, seperti kes pecahan HFMD. Dengan maklumat ini, tindakan cepat dan tepat dapat diambil untuk mengawal penularan.
-- BERNAMA
#taska #pusat jagaan kanak-kanak #tidak berdaftar #sesi dialog
;