351 Perajurit Muda TUDM tamat latihan
Bernama
Januari 21, 2023 19:02 MYT
Januari 21, 2023 19:02 MYT
IPOH: Seramai 351 pelatih Perajurit Muda Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menamatkan latihan mereka di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini hari ini.
Upacara Tamat Latihan Perajurit Muda Udara Siri 65/22 di Padang Kawat ATU yang dirasmikan Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan meraikan pelatih terdiri daripada 292 lelaki dan 59 wanita.
Pada upacara perbarisan itu, Mohammad Iqbal Sardon dipilih sebagai penerima Anugerah Perajurit Muda Udara Terbaik Keseluruhan dan menerima Piala Pusingan Panglima Tentera Udara, manakala Wan Nor Zulaika Sofea Wan Zulkifli pula dipilih sebagai Perajurit Muda Udara Akademik Terbaik.
Terdahulu, Mohd Asghar Khan dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada semua pelatih termasuk jurulatih dan ibu bapa pelatih sehingga berjaya menamatkan latihan.
"Saya berbangga semua pelatih berjaya menamatkan latihan kerana mereka memiliki azam dan iltizam kuat serta matlamat jelas untuk mempertahankan kedaulatan ruang angkasa negara dengan penuh komited dan berdedikasi.
"Selama 65 tahun pelaksanaan latihan asas dijalankan, banyak perubahan dilakukan dalam usaha mempertingkatkan kemahiran dan kompetensi latihan, malah kita ucapkan penghargaan kepada tenaga pekerja dalam melahirkan anggota tentera yang cemerlang," katanya.
Beliau berkata kumpulan pelatih Siri 65/22 telah mengangkat sumpah pada 4 Julai tahun lepas seterusnya menjalani latihan asas ketenteraan selama 24 minggu.
"Mereka melalui tiga fasa latihan iaitu fasa pertama melibatkan latihan asas ketenteraan, fasa kedua pelajaran serta akademik dan fasa ketiga melibatkan latihan, ujian praktikal serta pembentukan sahsiah," katanya.
-- BERNAMA