350 pengembara VTL darat dari Singapura tiba di Larkin Sentral

Bernama
November 29, 2021 09:25 MYT
Kerajaan negeri telah membuat persediaan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi menerima ketibaan pengembara dari republik itu. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Seramai 350 pengembara menaiki 12 bas dari Singapura telah tiba di Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral di sini setakat tengah hari ini, menerusi Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata kerajaan negeri telah membuat persediaan rapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi menerima ketibaan pengembara dari republik itu.
Mengenai pengesanan satu kes positif COVID-19 yang dikesan di pintu masuk negara pada hari pertama VTL di sini, Solihan berkata tindakan pantas telah diambil.
"Lelaki itu negatif semasa di Singapura tetapi positif di sini, ia menunjukkan sistem kita berkesan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Terminal Bas dan Pengangkutan Awam Larkin Sentral, di sini hari ini.
Tambahnya, lelaki berkenaan telah dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menjalani ujian saringan RT-PCR, sebelum dikuarantin di Pusat Kuarantin di bandar raya ini.
-- BERNAMA
#VTL darat #Larkin Sentral #Malaysia #Singapura