350,000 veteran tentera sedia bantu perangi COVID-19
Salim Aziz
Mac 26, 2020 09:54 MYT
Mac 26, 2020 09:54 MYT
Kira-kira 350,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) bersedia untuk kembali menyumbangkan bakti kepada negara dengan membantu kerajaan menangani COVID-19.
Presidennya, Datuk Ismail Abidin, berkata kebanyakan ahli yang masih dianggap muda kerana berusia dalam lingkungan 40-an menawarkan diri bertugas di lapangan kerana mahu membantu menguatkan barisan hadapan dalam mengatasi krisis itu.
“Kita masih berkeupayaan sebab kita tengok ramai ahli PVATTBM atau veteran ini yang masih muda. Usia mereka yang baru berhenti daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekitar 40 hingga 50 tahun.
“Kita masih berkeupayaan dan kita rela membantu kerajaan dalam apa jua cara yang bersesuaian untuk melawan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyumbangkan 1,000 botol air mineral kepada Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, di sini.
Beliau berkata, air mineral itu akan diedarkan kepada petugas keselamatan yang terbabit dalam sekatan jalan raya Op COVID-19 di seluruh negeri.
Astro AWANI difahamkan, terdapat sekurang-kurangnya 16 sekatan jalan raya di lokasi tumpuan ramai di seluruh negeri.
Difahamkan juga, kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan di negeri ini berada pada tahap 95 peratus.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Arau dan Kangar mendapati, tidak banyak kenderaan yang memasuki kawasan bandar, manakala hampir semua premis perniagaan yang bukan dikategorikan sebagai penting, ditutup
#COVID-19
#Datuk Ismail Abidin
#ersatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia
#IPK Perlis
#Kangar
#koronavirus
#presiden
#PVATTBM
#Surina Saad