35 peratus kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung berjaya dipadam
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 19, 2022 23:39 MYT
Januari 19, 2022 23:39 MYT
NIBONG TEBAL: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya memadam 35 peratus daripada 4.05 hektar kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini, yang terbakar sejak Rabu lalu.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizan Timaradin berkata operasi memadamkan kebakaran itu menunjukkan perkembangan positif hari ini.
Ia selepas pihaknya menjalankan kaedah pengeboman air atau pemadaman dari udara.
"Kita buat 16 pusingan pengeboman air dan beberapa kaedah lain, kita mendapati 35 peratus di kawasan terbakar itu telah berjaya dipadamkan.
"Setakat ini, kami juga mendapati tiada kemerebakan api di kawasan baharu di tapak pelupusan sampah seluas 16.2 hektar itu dan kaedah pengeboman air akan diteruskan esok," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hafiz Hafizan berkata pihaknya bersama beberapa agensi lain termasuk Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil langkah-langkah serta merangka beberapa kaedah lain lagi termasuk fire break bagi mempercepatkan operasi pemadaman itu.
Katanya, pihaknya turut menggunakan tanah untuk menimbus kawasan kebakaran bagi memadamkan api dan dengan bantuan JAS untuk memantau cerapan haba titik panas supaya dapat mengesan api dalam tanah lebih cepat.