35 pengikut Jamalul Kiram akan didakwa di mahkamah Filipina

T K Letchumy Tamboo
Mac 14, 2013 23:17 MYT
Seramai 35 pengikut waris Jamalul Kiram III yang ditahan di Filipina semalam akan didakwa di mahkamah negara itu dalam masa terdekat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara ini disahkan kepadanya oleh Setiausaha Pertahanan Filipina Voltaire T Gazmin.
“Beliau memberi jaminan bahawa penceroboh-penceroboh itu akan didakwa di mahkamah dalam waktu terdekat selepas siasatan terperinci dilakukan ke atas mereka,” kata Ahmad Zahid kepada Astro Awani.
Ahmad Zahid juga berkata Gazmin telah memberi jaminan bahawa Filipina akan memberi kerjasama jangka masa panjang untuk menyekat orang-orang mereka daripada memasuki perairan Malaysia secara haram.
“Tentera laut mereka serta pegawal pantai mereka akan sekat orang-orang di sekitar kepulauan berdekatan Sabah untuk masuk Malaysia,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain,Ahmad Zahid berkata aset-aset ketenteraan yang ada ketika ini adalah aset yang baru yang tidak boleh mengenal pasti ‘black spot’ atau titik hitam di sekitar persekitaran panati timur Sabah.
“Ada kelompang-kelompang yang dipanggil ‘black spot’ yang tidak ada liputan dari segi sistem radar.
“Aset-aset itu perlu ditambah supaya tidak ada ‘black spot’ yang membolehkan penceroboh-penceroboh ini masuk.”
Semalam, laman web akhbar The Philippine Star melaporkan tentera laut Filipina menyekat dua buah bot yang membawa pengikut waris Jamalul, termasuk seorang wanita, dekat Pulau Tawi-Tawi di selatan negara itu.
Jurucakap tentera laut Filipina, Lt. Komander Gregiry Fabic dipetik berkata, pihaknya merampas senjata dan peluru dari dua buah bot berkenaan.
Fabic juga berkata, pihaknya belum dapat memastikan apakah bot berkenaan sedang menuju ke Sabah.
#Lahad Datu #penceroboh Sulu #Voltaire Gazmin #Zahid Hamidi
;