35 laluan bas Rapid KL terlibat penyelarasan operasi bermula hari ini
Bernama
Mac 29, 2024 21:30 MYT
Mac 29, 2024 21:30 MYT
SERI KEMBANGAN: Sebanyak 35 laluan atau 13 peratus daripada keseluruhan 264 laluan bas Rapid KL di Lembah Klang termasuk bas perantara Laluan Transit Aliran Massa (MRT) terlibat dalam penyelarasan operasi bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) Muhammad Yazurin Sallij berkata penyelarasan itu merupakan usaha jangka panjang syarikat tersebut untuk menambah baik mutu perkhidmatan yang turut melibatkan penggantian bas mencapai had maksimum penggunaan.
Beliau berkata menerusi penyelarasan itu juga kekerapan bas akan bertambah antara dua hingga lima minit memandangkan laluan yang terlibat kebanyakannya adalah laluan utama.
"... purata usia bas kita sekarang ini sudah melebih 10 tahun. Disebabkan usia bas yang agak lama itu, kita memang perlu untuk memberhentikan tugas bas berkenaan secara berperingkat (dan) kami sudah tender bas," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di sini hari ini.
Menurutnya penambahan bas itu diharap dapat meningkatkan lagi operasi Rapid Bus berbanding dengan penggunaan bas lama yang kadang-kala ada rosak dan sesetengahnya terpaksa dihantar ke depoh untuk diperbaiki.
Bagaimanapun, Muhammad Yazurin berkata pihaknya telah mengambil beberapa langkah mempercepatkan pelaksanaan beberapa pelan tindakan bagi memastikan kesan kepada penumpang pada tahap minimum.
Beliau berkata ia melibatkan penambahan 164 bas daripada syarikat luar serta kolaborasi dengan pengendali bas pihak ketiga untuk memenuhi keperluan operasi harian bermula Mei ini selain turut menambah 20 van transit atas permintaan (DRT) ke dalam operasi pada bulan sama.
Selain itu, katanya Rapid Bus akan mengeluarkan 60 bas model Volvo SD B7RLE yang telah melebihi had maksimum pengoperasian daripada operasi hariannya dan menambah 310 bas diesel baharu menjelang penghujung 2024 bagi menggantikan bas yang telah mencapai had maksimum penggunaan.
Dalam pada itu, beliau berkata Rapid Bus juga sentiasa menambah baik aspek khidmat pelanggan, terutama yang melibatkan Kapten Bas, supaya pelanggan dapat menikmati pengalaman yang terbaik dan berasa selamat semasa dalam perjalanan.
"Secara asasnya, penambahbaikan adalah proses berterusan. Contohnya, jumlah aduan yang kita terima berkenaan Kapten Bas memang sudah turun hingga separuh berbanding dua tahun lepas...kita percaya perjalanan dan pengalaman pelanggan sangat penting," katanya.
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.myrapid.com.my atau media sosial Rapid KL untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas Rapid KL.
-- BERNAMA