35 kes kesihatan akibat cuaca panas dicatat sejak 1 Mac - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mac 23, 2016 08:42 MYT
NOOR HISHAM: Laporan merangkumi lima kes strok haba, 25 kes kelesuan haba, dan lima kes kekejangan haba. -Gambar fail
Kementerian Kesihatan merekodkan 35 kes masalah kesihatan berkaitan cuaca panas melampau di negara ini sejak 1 Mac hingga semalam.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata ia membabitkan mereka yang menerima rawatan di hospital kerajaan termasuk satu kematian di Segamat, Johor.
Jelasnya, laporan merangkumi lima kes strok haba, 25 kes kelesuan haba, dan lima kes kekejangan haba.
Jumlah itu berdasarkan jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad dan menerima rawatan di hospital kerajaan.
Dr Noor Hisham turut menasihati kanak-kanak dan warga emas supaya menjaga kesihatan kerana mereka antara yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan.
Fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga Mei atau Jun.
Cuaca panas akan menyebabkan seseorang berpeluh, dan kesannya cecair dalam tubuh berkurangan mengakibatkan dehidrasi dan strok haba.
#cuaca panas melampau #El Nino #kelesuan haba #Kementerian Kesihatan #Noor Hisham Abdullah